
Aduan berhubung saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didera dengan ditampar beberapa kali, dibogelkan dan dipukul dengan batang besi bakal didedahkan dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock.
Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata, beliau akan mendedahkan laporan polis yang telah dibuat oleh saksi SPRM berhubung dakwaan itu bersama-sama bukti gambar kecederaan dialami mangsa ketika disoal siasat di pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam di sini.
Gobind mendakwa antara pegawai SPRM yang terlibat melakukan penderaan fizikal itu ialah saksi ke-19, Penolong Penguasa SPRM Selangor Mohd Ashraf Mohd Yunus, yang memberi keterangan dalam prosiding hari ini.
Peguam itu juga bercadang untuk mengemukakan beberapa soalan kepada Mohd Ashraf berhubung laporan polis itu yang mengaitkannya dengan dakwaan melakukan penderaan terhadap saksi tersebut.
Berikutan itu, koroner Azmil Muntapha Abas menangguhkan prosiding ke 8 September bagi membolehkan Mohd Ashraf untuk melantik peguam kerana soalan yang bakal ditanya Gobind boleh mendedahkan beliau kepada pertuduhan jenayah.
Gobind berkata, laporan polis itu menerangkan secara terperinci bagaimana saksi berkenaan didera oleh pegawai SPRM di Tingkat 14, pejabat SPRM Selangor.
“Antaranya ialah pegawai bergilir-gilir menampar saksi, menutup mata saksi dan menyuruhnya berbogel, membalut batang besi dengan surat khabar dan menggunakannya untuk memukul perut, punggung, tangan dan kaki saksi, menendang di bahagian perut serta merotan untuk membelasah kemaluan dan tapak kaki sehingga saksi hampir pengsan.
“Ini bukan satu-satunya laporan polis yang ada pada kami, banyak lagi yang akan kami kemukakan,” kata Gobind, yang enggan mendedahkan identiti pengadu buat masa ini.Mstar
No comments:
Post a Comment