‘Kuasa JPJ lulus bas dua tingkat’
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mendakwa kuasa untuk menentukan syarikat pengangkutan awam boleh menggunakan bas dua tingkat atau tidak, ditentukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarahnya, Datin Naimah Ramli, berkata LPKP hanya mengeluarkan lesen bagi membenarkan syarikat pengangkutan awam menggunakan bas dua tingkat, selepas mendapat kelulusan daripada JPJ.
“LPKP tidak terbabit untuk menentukan keperluan bas terbabit, sama ada ia sesuai digunakan atau tidak, ia di bawah bidang kuasa JPJ. Ia adalah kelulusan kejuruteraan automotif JPJ.
“JPJ melalui kejuruteraan automotif akan menentukan sama ada spesifikasi kenderaan itu sesuai untuk digunakan atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam akhbar melaporkan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menyarankan LPKP mewujudkan mekanisme kawalan dalam pengeluaran lesen bas dua tingkat kepada syarikat pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan kemalangan maut.
Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata selain faktor kesesuaian muka bumi, pengeluaran lesen itu juga perlu mengambil kira kemampuan pemandu mengendali bas berkenaan.
Mengulas mengenai laporan yang mendakwa sistem perkhidmatan aduan awam yang diperkenalkan LPKP berada pada tahap mengecewakan dan hanya beroperasi pada hari bekerja saja, Naimah berkata, talian LPKP tidak beroperasi 24 jam, sebaliknya beroperasi pada hari bekerja dan waktu bekerja saja.
“Pada hari tidak bekerja segala aduan masuk ke peti simpanan suara dan tindakan selanjutnya akan diambil selepas menerima laporan,” katanya.
“Segala aduan yang dikemukakan orang ramai kita akan jalankan siasatan dan tindakan akan diambil. Namun siasatan terbabit bergantung kepada kes-kes yang dilaporkan,” katanya.
Katanya, LPKP juga sedia menerima pandangan dan cadangan orang ramai dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan LPKP
No comments:
Post a Comment