Blogger ‘Tulang Besi’ yang seringkali mengkritik tindakan pemimpin PAS menyokong idea kerajaan perpaduan Umno-BN akan mengadakan pertemuan dengan setiausaha agung parti berhubung aduan rasmi dibuatnya bulan lalu membabitkan tiga pemimpin kanannya.
Pertemuan itu akan berlangsung di ibu pejabat PAS di sini petang esok selepas kira-kira tiga minggu Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali memberikan ‘lampu hijau’ berhubung aduan rasmi dibuat membabitkan tiga pemimpin kanannya, mendakwa wujud salah laku menjejaskan nama komponen Pakatan Rakyat itu.
“Saya akan menemui Cikgu Pa (Mustafa) esok, pukul 2 petang,” kata pengendali blog malaysianwaves.com, Abdul Rahman Talib, yang lazimnya dikenali sebagai “Tulang Besi”,
“Saya seorang saja akan menemui Cikgu Pa, kemungkinan akan membawa seorang peguam,” kata beliau dari Jakarta.
Sebelum ini langkah itu disambut baik Abdul Rahman kerana setiausaha agung yang mempunyai kata putus sama ada sesuatu aduan mempunyai merit untuk disiasat ataupun sebaliknya pernah mengetepikan beberapa aduan sebelum ini termasuk yang dikemukakan oleh Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim.
Beliau selain mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad enam bulan sedangkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hanya diberi amaran juga mendakwa aduannya pernah ditolak Mustafa.
Tindakan itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan segelintir pemimpin dan ahli PAS.
Abdul Rahman yang berada di Indonesia kerana urusan perniagaan sepatutnya berada di Kuala Lumpur dua minggu lalu tetapi kedatangan beliau tertangguh.
Difahamkan ini kali pertama sejak pertengahan tahun lalu pengadu yang membuat aduan ditemui setiausaha agung untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Dalam aduannya pada 12 Feb lalu, Abdul Rahman turut menyenaraikan supaya keseluruhan anggota Majlis Syura PAS yang menyokong usaha meneruskan dialog kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke-12 disiasat jawatankuasa disiplin parti.
Tiga pemimpin yang dimaksudkan terdiri daripada Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan Hasan. yang bulan lalu dikenakan tindakan amaran oleh jawatankuasa disiplin.
Idea dialog kerajaan perpaduan membabitkan PAS-Umno mendapat sokongan berbelah bahagi dalam parti itu.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mereka yang menyokongnya menentang usaha sedemikian.
Nasharudin dan Hasan merupakan antara pemimpin dirujuk Nik Aziz agar ditukar dengan diadakan pemilihan khas menerusi Muktamar Agung Khas.
Muktamar khas tidak diadakan sebaliknya Hasan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin di mana keputusan diumumkan 29 Jan lalu.
Isu idea kerajaan perpaduan turut mendapat perhatian Muktamar Agung PAS 2008 dan 2009.
Beberapa pihak dalam dan di luar PAS selain Nasharudin turut menyokong idea berkenaan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi mereka berkali-kali telah menafikannya.
Akhir tahun lalu Abdul Rahman mencetuskan kejutan dengan mendedahkan rakaman yang didakwa pengakuan dan kenyataan menyokong idea kerajaan perpaduan.
MI
No comments:
Post a Comment