25 April 2010

BN guna samseng serang ahli PKR

Ahli PKR diserang penyokong BN

Seramai 48 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa telah dikejar dengan parang oleh penyokong Barisan Nasional (BN) ketika membuat rondaan di kawasan Kampung Sungai Buaya dekat sini.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shahrin, ketika kejadian beliau dan ahli lain membuat pemantauan di sekitar kawasan pusat pengundian sebelum ditahan oleh penyokong-penyokong BN.

“Sejak dari pagi kita telah bergerak ke banyak tempat untuk bertemu dan mengucapkan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya yang telah banyak membantu.

“Selain itu, kita juga mahu memantau proses pengundian dan apabila sampai ke pusat pengundian Sungai Buaya kita dapati keadaan agak tegang sebelum menenangkan mereka dengan menjarakan penyokong BN dan penyokong PKR.

“Ketika itu mereka memberikan kerjsama yang baik malah polis juga turut membantu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Serendah dekat sini.

Beliau berkata, ketika hendak bergerak meninggalkan pusat pengundian tersebut pihaknya telah ditahan selain dimaki-hamun oleh penyokong BN.

“Kami telah ditahan oleh mereka selain dimaki-hamun, mengeluarkan kata-kata lucah dan menuduh kami sebagai orang luar.

“Saya tidak mempedulikan mereka dan terus bergerak untuk meninggalkan mereka tetapi mereka menunggu kami disimpang masuk ke kawasan tersebut.

“Ketika itu mereka yang menunggang motosikal melibas-libas parang selain turut menendang kenderaan,” katanya.

Badrul Hisham berkata, pihaknya bernasib baik apabila sebuah kereta peronda melalui kawasan tersebut sebelum penyokong BN membuang parang yang dipegang.

“Bila bertembung dengan polis mereka membuang parang dan pada masa yang sama saya bertanyakan apa masalah mereka tetapi mereka hanya mendiamkan diri.

“Saya juga memberitahu sekiranya ada salah saya minta maaf dan terus meminta ahli lain masuk ke dalam kereta masing-masing untuk terus bergerak.

“Tetapi mereka bertindak agresif dengan menendang pintu kereta menyebabkan salah seorang ahli kita tersepit dan tercedera,” katanya lagi.

Hulu Selangor menyaksikan pilihan raya kecil hari ini.

No comments:

Post a Comment