Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Dr Khir Toyo atas tuduhan rasuah membuktikan telahan rakyat selama ini bahawa benarlah beliau terlibat dengan rasuah semasa menjadi Menteri Besar Selangor.
Tiada yang memeranjatkan dalam kes Dr Khir Toyo kerana ramai telah menjangkakan lebih awal apakah nasib yang akan diterima beliau.Kes beliau juga adalah berat dan sukar dinafikan sehingga mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahannya...
Isu rasuah melibatkan pemimpin besar negara bukanlah suatu isu yang mengejutkan kerana telah acapkali kes rasuah dibicarakan di mahkamah terhadap pemimpin negara sehingga timbul persepsi rakyat, bahawa pemimpin negara hari ini adalah sinonim dengan kes-kes rasuah dan penyelewengan kuasa.
Apa yang membimbangkan adalah akan berlakunya krisis kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan negara, lama-kelamaan ia akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi dan pilihanraya di negara ini.
Rakyat akan merasa muak untuk memilih dan mengangkat pemimpin negara yang akhirnya ditangkap kerana pelbagai kesalahan rasuah.
Pemimpin negara dilihat seperti berjuang untuk kepentingan diri mereka sendiri, bukan untuk rakyat yang dipimpinnya.
“Dalam hal ini, pemimpin negara hari ini di harap menjadikan kes Datuk Seri Dr Khir Toyo sebagai teladan bahawa amanah kepemimpinan perlu dijaga dan ditunaikan dengan baik .
Kepemimpinan negara bukan suatu kesempatan untuk meraih sebanyak mungkin harta rakyat dan negara demi kepentingan diri sendiri.Kita suka mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin negara agar menjaga diri mereka dari terpalit dengan apa juga skandal rasuah yang memalukan negara.
Mutakhir ini, telah ada desas-desus beberapa skandal besar yang melibatkan projek besar negara yang sedang dibicarakan rakyat yang mana pelbagai pembongkaran telah dibuat dan satu persatu skandal didedahkan.
Untuk itu, mana-mana pemimpin yang dikaitkan dengan skandal rasuah agar segera berundur sebelum mereka didakwa oleh mahkamah rakyat dalam pilihanraya umum ke 13 dan mahkamah sebenar yang akan menghukum mereka nanti.
Kini rakyat sudah mula mencongak-congak kes siapa pula yang akan tersangkut selepas ini untuk dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman.Mungkinkah ada lagi pemimpin negara akan menyusul Datuk Seri Dr Khir Toyo selepas ini?...
No comments:
Post a Comment