Ahmad Husni nafi kerajaan boros
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menafikan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan kekurangan pendapatan sehingga memaksa penyelarasan subsidi dilakukan.
Menurutnya, kerajaan mempunyai lebihan pendapatan RM10 bilion pada tahun ini dan mampu menampung pendapatan negara walaupun penyelarasan subsidi tidak dilakukan.
"Hasil daripada pungutan cukai terancang Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kerajaan memperoleh RM158 bilion pada tahun ini berbanding RM148 bilion ketika pembentangan belanjawan tahun lalu," ujarnya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan peruntukan RM450,000 dan majlis pecah tanah pembinaan surau Taman Chepor Damai di sini hari ini.
Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi, kerajaan menerusi transformasi ekonomi perlu merancang prospek ekonomi lebih terurus menjelang 2020.
Dalam proses itu, katanya, aspek kesejahteraan rakyat adalah keutamaan yang mendasari setiap penstrukturan semula ekonomi termasuk pelarasan subsidi beberapa bahan utama.
Beliau berkata, ia dilaksanakan bagi memacu iklim ekonomi negara yang lebih kondusif bagi menjamin masa depan semua golongan rakyat di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, penyelarasan subsidi melibatkan minyak dan gula tidak ada kaitan dengan dakwaan kerajaan boros berbelanja.
"Saya cakap dalam konteks belanjawan tahun 2010 kerana saya yang menguruskannya.
"Macam mana boleh dikatakan boros sedangkan kita ada Unit Pengurusan Projek untuk mengkaji pencapaian ekonomi dan perbelanjaan kita setiap bulan," katanya
No comments:
Post a Comment